1.
Feudalisme adalah satu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah
Barat pada abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan
berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila
kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian (Sivachandralingam, 1996:
66).
2.
Secara umumnya Sistem Feudal (Feudalisme) bolehlah didefinisikan sebagai
satu bentuk kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan
secara tempatan oleh individu persendirian tetapi bukan oleh kerajaan pusat.
3.
Menurut Gan shof (1944) Konsep Feudalisme pertama kali digunakan
pada kurun ke- 17 bagi merujuk kepada sistem politik di Eropah pada zaman
pertengahan yang memeperlihatkan hubungan yang saling memerlukan
di antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (Vassals)
dan tanah (fiefs). Dengan kata lain, dalam sistem ini petani
bekerja dan menjadi tentera untuk melindungi seorang bangsawan dan sebagai
balasan mereka boleh mengusahakan tanah bangsawan tersebut. Walaupun
istilahnya diambil daripada perkataan latin feodum atau feudum (fief),
namun konsep feudalism dan sistemnya bukanlah satu sistem politik formal
pada zaman itu.
4.
Menurut Abdullah Zakaria et. al. ( 2003: 92
) Pada asasnya, sistem ini
memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah
atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani)
yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu
pihak akan memberi perlindungan sementara
satu pihak yang lain memberi perkhidmatan ketenteraan
demi keselamatan raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu
sebagai mengakui sumbangan tersebut. Selain
aspek ketenteraan dan keselamatan, pihak yang dikenali sebagai feudotari
juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah
membekalkan buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan
kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama.
CIRI-CIRI MASYARAKAT
FEUDAL
Menurut Francois-Louis Ganshof
(1944) Sistem feudal sekurang-kurangnya mempunyai empat ciri penting iaitu hubungan
bertimbalas antara seorang bangsawan (Vassal) kepada bangsawan lain yang
lebih kuat atau lebih berpengaruh (lord), hak milik tanah atau sistem
fief, ketenteraan dan kuasa pemerintahan serta hak-hak perundangan.
- Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu bentuk hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan perjanjian antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang sahaja (Carl Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan ketaatan dan perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya manakala lord pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada Vasalnya (Azmi Arifin, 2006:55).
- Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal, kebiasaannya berupa tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah pengkaji, fief tidak semestinya berupa tanah sahaja. Sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan vassal yang tidak mempunyai sebarang tanah (landless knights) merupakan satu fenomena biasa yang dapat ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11. Kewujudan golongan ini meskipun semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada kurun-kurun selepasnya. Tugas lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung segala keperluan sara hidup pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang sepenuh masa dan tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada zaman pertengahan, kegiatan ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas teruk akibat kekacauan, serangan luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan raja-raja yang berfungsi sebagai Lord menghadapi masalah untuk membayar upah dalam bentuk wang. Ketika itu hanya terdapat dua cara yang membolehkan seseorang Lord melaksanakan tugasnya. Pertama seseorang Lord akan menempatkan seseorang vassal di istana-istananya dengan menyedaikan makanan, pakaian, senjata atau sebarang keperluan yang dikehendakinya. Kedua ialah dengan memberikannya tanah sebagai sumber pendapatan yang boleh menampung keperluan hidupnya. Cara ini amat popular kerana dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa kerana ia melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi dan sosial. Seseorang lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal melalui pemberian tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan pengaruh, manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah sekalipun mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani kaya, tidak mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu mereka akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas hulubalang atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah mengatakan pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman feudal di Eropah Barat.
- Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya berpendapat institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek ketenteraan.Malah perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan wujudnya organisasi ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan kemunculan kelas-kelas tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan. Misalnya perkembangan feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan golongan knights dan chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer, cataphracts di Byzantium dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China dan sebagainya lagi (Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal telah menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka yang menguasai tanah. Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.
- Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya. Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa ketenteraan, polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan perkembangan wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat dengan perjanjian feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord yang berada di atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini bergantung kepada taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri. Jika baginda seorang pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin sedikit sebanyak dapat dikawalnya. Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal, kedudukan seseorang raja amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai kekuatan untuk mengawal pembesar feudal. Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan terpenting. Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan vassalage-fief dan perkembangan aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan itu tidak mungkin diperolehi.
Berdasarkan
keempat-empat ciri tersebut, feudalisme bolehlah ditakrifkan sebagai satu
bentuk organisasi yang diwujudkan oleh satu bentuk hubungan persendirian yang
diikat antara seseorang individu dari kelas hulubalang dengan individu daripada
kelas hulubalang yang lain, iaitu antara lord dan vassal. Melalui ikatan
vassalage - fief, seseorang vassal dikehendaki menjaga dan melindungi
vassalnya.Susunan ini kemudiannya menjadi asas kepada keseluruhan struktur
politik, pemerintahan, perundangan dan kemasyarakatan yang wujud dalam setiap
wilayah atau negara yang dikawal oleh corak hubungan tersebut (Azmi
Ariffin,2002: 59)
SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL
1. Masyarakat feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan
iaitu golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.golongan pemimpin terdiri
daripada raja, pembesar (bangsawan), dan golongan yang dipimpin ialah
rakyat atau petani.
2. Raja mempunyai kuasa mutlak dan berada
dikedudukan paling tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa lapisan para
bangsawan yang menjadi vassalnya.
3. Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief)
secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.Bangsawan
lapisan pertama itu membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua
dikenali sebagai subinfeudation.
4. Bangsawan lapisan kedua seterusnya mungkin membahagikan
fief mereka kepada bangsawan lapisan ketiga.Setiap bangsawan berkuasa ke
atas petani yang menetap di fiefnya.
5. Kelas paling bawah sekali ialah kaum tani (serf).
Kaum tani semuanya miskin dan tidak berpelajaran. Hak-hak mereka sedikit tetapi
tugas mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi layanan yang memuaskan oleh
tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri daripada golongan serf yang
bertaraf antara orang bebas dengan hamba.Peluang untuk menjadi
kaya dan masyhur dengan usaha sendiri sangat tipis. Seseorang hamba akan
menjadi hamba seumur hidup dan anak-anak mereka juga akan menjadi hamba.
6. Sebagai kesimpulannya dalam pemerintahan bercorak feudal
ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di
bawah pemerintahan seorang raja (Abdullah Zakaria, 2003:93). Struktur
masyarakat feudal di Eropah bolehlah boleh digambarkan seperti rajah di
bawah.
SISTEM FEUDAL DI ENGLAND
Latarbelakang
Sistem Feudal di England
Selepas kejatuhan Empayar Rom, menjelang tahun 800 Masihi, muncul satu institusi politik yang dikenali sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah Barat termasuklah di England. Dalam sistem feudal terdapat satu susunan tanggungjawab yang kompleks dan obligasi di kalangan individu daripada kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja. Setiap serf memberi sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight (pahlawan), bangsawan (baron, duke,lord) dan akhir sekali ialah raja.Setiap bangsawan berjanji untuk melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya (Sivachandralingam, et.al.1999:93). Dalam sistem feudal di England, kebergantungan sangat kuat antara seorang raja dengan golongan bangsawan (lord) yang dilantik sendiri oleh raja.
Golongan bangsawan mempunyai
hubungan secara langsung dengan raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga
buruh untuk melakukan sesuatu kerja atau memerlukan tentera maka golongan
petani (serf) akan dikerah untuk memenuhi keperluan tadi. Jadi dalam
sistem feudal di England golongan petani (serf) menjadi subjek
utama dan tidak mempunyai sebarang hak. Dalam sistem feudal, tanah menjadi
elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja. Golongan bangsawan telah
dikurniakan tanah (wilayah) oleh raja. Tanah menjadi punca kekayaan
bagi raja dan golongan bangsawan.
Ciri-ciri Sistem Feudal
di England
1.
Hubungan bertimbal balas atau hubungan dua hala.
Hubungan bertimbal balas (vassalage)
yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal)
kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord)
kepada vassal tersebut. Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord
akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal
akan memberikan ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan
kepada lordnya. Sebagai timbal balas golongan lord pula akan
memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.
2.
Harta feudal yang kebiasaannya berupa tanah.
Ciri yang kedua iaitu harta
feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan
kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh
raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberkan tanah kepada
vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan. Oleh kerana tujuan utama
pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief
juga dikenali sebagai military fief. Fief tidak semestinya berupa tanah
sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga
diberikan sebagai bentuk fief. Pemberian fief berupa tanah
dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak
memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang
di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.
3.
Ketenteraan.
Ciri feudalisme yang ketiga
ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan
perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord
sebagai penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief
adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif. Perkhidmatan utama
yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan
ketenteraan. Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan
aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh kerana
sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan maka di Eropah atau England
wujudnya golongan tentera elit seperti knights dan chivalry
yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.
4.
Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian.
Ciri feudalisme keempat ialah kuasa
pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan
dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di
atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga
turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang,
mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.
Struktur Masyarakat
Feudal di England.
1.
Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin
dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan.
Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin
utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa
lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberi
kesetiaan kepada raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu
lapisan pertama dan kedua.
2.
Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara
langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan
lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua.
Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan lapisan ke dua seterusnya
membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya
atau golongan petani. Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas petani
yang menentap dififnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang
bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
3. Golongan
yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di
wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf
iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat
kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari
satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk
mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah
daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).
4.
Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang
berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada daripada
golongan bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem
feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad
ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat
di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan
penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka
sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan
lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai
greja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua
tanggungjawab (Sivachandralinggam, 1996:70).